Sebahagian daripada siri tentang |
Agama Yunani Kuno |
---|
Agama Yunani kuno atau purba mencakupi pelbagai kepercayaan, upacara dan mitologi, dan terdapat dalam agama awam dan amalan pemujaan. Menggunakan konsep "agama" yang moden kepada budaya kuno dipermasalahkan kerana konsep ini tidak kena dengan zaman.[1] Orang Yunani kuno tiada perkataan untuk "agama" dalam erti kata moden. Selain itu, tiada penulis Yunani yang dikenali pernah mengelaskan dewa-dewa atau pemujaan yang berbeza sebagai "agama" yang tersendiri.[2] Sebaliknya, sebagai contoh, Herodotus menyebut bahawa orang Yunani Hellen mempunyai "kuil yang sama untuk dewa-dewi dan korban, dan jenis adat yang sama."[3]
Kebanyakan orang Yunani mempercayai 12 dewa-dewi utama Olympus—Zeus, Hera, Poseidon, Demeter, Athena, Ares, Aphrodite, Apollo, Artemis, Hephaestus, Hermes, dan sama ada Hestia atau Dionysus—namun ada aliran falsafah seperti Stoikisme dan beberapa bentuk Platonisme menggunakan bahasa yang seolah-olah bercakap tentang satu tuhan yang tunggal dan tertinggi. Penyembahan dewa-dewa ini, dan beberapa yang lain, terdapat di seluruh dunia Yunani, biarpun dengan gelaran berbeza yang mengkhususkan aspek dewa itu, dan sering mencerminkan penyerapan dewa tempatan lain ke dalam rangka segenap dunia Yunani.
Amalan keagamaan orang Yunani melepasi batas tanah besar Yunani, ke pulau-pulau dan pantai Ionia di Asia Kecil, ke Magna Graecia (Sicily dan selatan Itali), dan ke koloni-koloni Yunani di seluruh Mediterranean Barat, seperti Massalia (Marseille). Agama Itali awal seperti agama Etruscan dipengaruhi agama Yunani kemudian banyak mempengaruhi agama Rom kuno.