YB Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan PJN, SMW, DSPN, KMN | |
---|---|
Ahli Dewan Negara Malaysia | |
Lantikan Yang di-Pertuan Agong | |
Dalam jawatan 20 Mac 2023 – 19 Mac 2026 | |
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka | |
Menyandang jawatan 22 Mei 2020 | |
Didahului oleh | Mohamed Hatta Shaharom |
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka | |
Dalam jawatan 1 Februari 2012 – 31 Disember 2015 | |
Didahului oleh | Termuzi Abdul Aziz |
Digantikan oleh | Abdul Adzis Abas |
Maklumat peribadi | |
Lahir | Awang bin Sariyan 20 Oktober 1953 Kampung Teluk Kerang, Pontian, Johor |
Kediaman | Hulu Kelang, Selangor |
Pekerjaan | Ahli akademik |
Yang Berhormat Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Haji Awang bin Sariyan (lahir 20 Oktober 1953) ialah ahli bahasa Melayu di Malaysia yang telah banyak menulis buku ilmiah, buku umum, buku teks, kamus dan buku kumpulan puisi serta ratusan rencana dalam jurnal, majalah, akhbar, kata penghantar/pengenalan dan bab dalam buku. Beliau telah menyampaikan syarahan dan kertas kerja di belasan negara sedunia, selain di Malaysia, iaitu di Australia, Brunei Darussalam, Indonesia, Jepun, Jerman, Kampuchea, Korea Selatan, Netherlands, Perancis, Republik Rakyat China, Rusia, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan United Kingdom. Selain mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat negara, beliau bergerak aktif di peringkat serantau dan antarabangsa sama ada melalui pelbagai persidangan ilmiah, kerja perundingan, kursus, promosi mahupun melalui tugasnya sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di luar negara (Republik Rakyat China sebanyak dua kali), perunding seperti di Kementerian Pendidikan Singapura dan Profesor Tamu seperti di Universiti Goethe, Frankfurt, Jerman. Beliau pernah menjadi Setiausaha Eksekutif dan kemudian Pengerusi Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia melalui Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa. Atas jawatannya sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (2012-2016), beliau menjadi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu Malaysia dan Ketua Perwakilan Malaysia dalam Sidang Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA).
Beliau berpengalaman luas dalam bidang akademik dan pentadbiran, antaranya sebagai profesor bahasa di Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, penyandang kursi akademik (Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Beijing Foreign Studies sebanyak dua kali dan Kursi Za`ba Universiti Pendidikan Sultan Idris) dan pengarah institut serta ketua pengarah agensi kerajaan. Beliau pernah menjadi profesor bahasa di enam buah universiti, termasuk di sebuah universiti di luar negara dan pernah menjadi Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia. Di agensi kerajaan, beliau merupakan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang ke-10 mulai 1 Februari 2012 sehingga 31 Januari 2016, setelah 22 hari menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Dasar (9 Januari - 31 Januari 2012). Jawatan kehormat yang pernah disandangnya ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (22 Mei 2000-20 Mei 2023). Mulai Disember 2024, beliau dilantik menjadi Profesor Pelawat di Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia.
Awang telah dilantik sebagai ahli Dewan Negara bermula 20 Mac 2023 oleh Yang di-Pertuan Agong[1].