Bonsai (Jepun: 盆栽, lit. 'tanaman bekas' )[1] ialah suatu seni menggubah pokok miniatur dalam bekas pasu hiasan menyerupai pokok besar melalui penyimpanan spesies pokok tertentu di dalam pasu yang bersaiz kecil, mengawal tumbesarannya serta mengoleh pangkas bentuk semula jadi susunan dahan, ranting, daun dan juga banirnya mengikut gaya yang dikehendaki.[1] Teknik ini tidaklah melibatkab pemandulan pokok mahupun penggunaan hormon kerana ia langsung tidak melibatkan pengubahsuaian genetik sesuatu pokok terbabit. Ketinggian bonsai biasanya antara 120-140 sentimeter dan jika melebihi ukuran ini, ia tidak lagi dianggap pokok bonsai tetapi dikelaskan sebagai pokok hiasan.[2]
Seni ini dibentuk daripada seni penjing[3][4] yang diperkenalkan kepada masyarakat Jepun melalui para pelajar dan isi istana diraja yang melawat tanah besar China pada abad ke-6.[5] Meskipun seni bonsai sering dikaitkan dengan masyarakat Cina, kini sudah semakin ramai peminat bonsai di kalangan masyarakat bukan Cina yang turut aktif menceburi seni ini, malahan ada juga yang pernah menerima pengiktirafan dalam beberapa pertandingan peringkat kebangsaan.[6][7]