Carta Era adalah carta mingguan lagu-lagu paling popular dalam Radio Era di Malaysia. Segmen ini mula diperkenalkan ketika bermulanya stesen radio ini pada hujung 90-an dan bertahan sehingga kini.
Waktu siaran Carta Era pada asalnya adalah setiap hari Ahad, 10 pagi hingga 12 tengahari. Di antara 27 Ogos 2006 hingga 28 Disember 2008, Carta Era bersiaran pada jam 9 pagi, dan bukan pada pukul 10 pagi, tetapi posisi 20 lagu dikekalkan. Pada tahun 2009, Carta Era dipindahkan ke hari Sabtu pada pukul 2 hingga 4 petang, dan siaran ulangan adalah pada hari Ahad, jam 10 pagi, sebelum itu siaran ulangan adalah pada pukul 12 tengah malam. Pada November 2009, posisi bertukar kepada 40 lagu dan mula bersiaran lebih awal, masing-masing pada pukul 12 tengahari dan 8 pagi. Carta ini berbeza kerana ia mempunyai kedua-dua lagu berbahasa Melayu (termasuk lagu Indonesia) dan lagu antarabangsa, tidak mengira sama ada lagu berbahasa Inggeris atau Korea. Dengan penambahan posisi lagu, segmen Ngetop ERA yang memutarkan 100 peratus muzik dari seberang, termasuk juga lagu dakwah selepas info solat, dimansuhkan pada Oktober 2009.
Pemilihan lagu paling popular dalam Carta Era adalah melalui pemilihan lagu oleh pendengar bagi segmen Muzik ERAthon dan MeleTOP 40 ERA (sebelum ini Pilihanmu di Era dan C30 Era). Lagu yang paling banyak diminta pendengar akan berpeluang lebih untuk mengungguli carta.