Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors.
Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Responsive image


Evolusi najam

Lakaran pelukis tentang kitaran hidup bintang seakan Matahari, bermula dengan jujukan utama (di bahagian bawah kiri), kemudian mengembang menjadi bintang subraksasa dan kemudiannya melalui fasa gergasi, sehinggalah envelop luarannya dibuang menjadi nebula planet (kanan, atas).

Evolusi najam (Jawi: ايۏولوسي نجم) atau evolusi bintang (Jawi: ايۏولوسي بينتڠ) ialah proses perubahan radikal yang dialami sepanjang hayat sebuah bintang. Hayat sebuah bintang bergantung kepada jisim bintang dan tempohnya boleh bertahan selama beberapa juta tahun bagi bintang yang jisimnya besar hingga ke trilion tahun buat bintang berjisim kecil. Tempoh ini (trilion tahun) lebih lama daripada umur alam semesta wujud. Semua bintang wujud daripada awan gas dan debu yang menguncup, yang sering kali digelar nebula atau awan molekul. Dalam tempoh berjuta tahun, keadaan protobintang ini menjadi seimbang dan protobintang menjadi apa yang digelar bintang jujukan utama.

Bintang mendapat tenaga daripada proses lakuran nuklear buat sebahagian besar hayatnya. Pada mulanya tenaga dijana melalui lakuran atom-atom hidrogen di teras bintang jujukan utama. Kemudian, apabila sebahagian besar atom teras menjadi helium, bintang seperti Suria mula melakurkan hidrogen sepanjang kelompang yang mengelilingi teras. Proses ini menyebabkan bintang mengembang, merentasi fasa subraksasa sehinggalah ia sampai ke fasa gergasi merah. Bintang-bintang yang mempunyai sekurang-kurangnya setengah daripada jisim Suria/Matahari juga boleh menjana tenaga melalui lakuran helium, sementara bintang yang berjisim lebih dapat melakurkan unsur yang lebih berat pada siri kelompang sepusatnya.

Sebaik sahaja bintang seperti Suria kehabisan bahan bakarnya, terasnya runtuh dan ia bertukar menjadi bintang kerdil putih yang tumpat, dan selaput luaran dikeluarkan sebagai nebula planet. Bintang-bintang yang saiznya sepuluh atau lebih kali ganda saiz Suria boleh meledak dalam sebuah supernova apabila teras besi lengainya runtuh, menjadi bintang neutron yang amat tumpat atau lohong hitam. Tidak dapat dipastikan bagaimana bintang kerdil merah menamatkan hayatnya oleh sebab jangka hayatnya yang amat lama, tetapi kebarangkalian mereka mati perlahan-lahan dengan envelop luaran diusir atau dibuang sedikit demi sedikit dengan peredaran masa.

Kajian berkaitan evolusi bintang tidak dilakukan terhadap jangka hayat sebuah bintang tertentu oleh sebab sebahagian besar pertukaran pada bintang berlaku dalam tempoh terlalu lama, ada masanya berabad, dan tidak dapat diperhatikan. Sebaliknya, ahli astrofizik memahami bagaimana evolusi bintang berlaku dengan memerhati bintang yang berada pada fasa-fasa kitaran hayat berlainan, dan dengan melakukan simulasi terhadap struktur najam dengan menggunakan model komputer.


Previous Page Next Page