Skandal 1Malaysia Development Berhad ialah skandal politik yang berterusan di Malaysia, yang mana Perdana Menteri ketika itu Najib Razak dituduh menyalurkan lebih RM 2.67 bilion (kira-kira AS$700 juta) ke dalam akaun bank peribadinya daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah syarikat pembangunan strategik milik kerajaan.[1] Berikutan gesaan berulang kali untuk melepaskan jawatan oleh orang ramai, Najib kehilangan kuasa dalam pilihan raya umum Malaysia 2018, dan kini sedang dibicarakan bersama beberapa tokoh penting yang terlibat.
Najib telah disabitkan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berhubung pecah amanah dan pengubahan wang haram RM42 juta dalam kes SRC International, dan selepas banyak rayuan yang gagal, pada tahun 2022, Najib mula menjalani hukuman penjara dengan kes lain terus dibicarakan. Isterinya, Rosmah Mansor, turut menghadapi tuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai, yang mana beliau mengaku tidak bersalah.