Gilotin (daripada Perancis: guillotine ) ialah sebuah alat yang digunakan dalam pelaksanaan hukuman mati dengan memenggal atau memancung kepala seseorang. Ia terdiri daripada bingkai tinggi tegak dengan sebilah mata pisau besar dan bersudut digantung padanya. Bilah dinaikkan dengan seutas tali, dan tengkuk orang yang dihukum diletakkan di bawahnya. Bilah gilotin kemudiannya dilepaskan lalu jatuh dengan pantas dan seterusnya memenggal kepala pesalah laku.
Alat ini dianggap sebagai cara utama bagi pelaksanaan hukuman bunuh di negera Perancis, khususnya pada zaman Revolusi Perancis apabila ia menjadi "sebahagian daripada budaya terkenal, disanjung sebagai pembalas dendam rakyat oleh penyokong Revolusi dan dikutuk sebagai tanda Pemerintahan Ganas oleh penentang Revolusi".[1]
Walaupun secara umumnya dikaitkan dengan Revolusi Perancis, gilotin kekal digunakan di beberapa negara, termasuk Perancis, lama selepas Revolusi Perancis berlalu. Di Perancis, alat ini merupakan alat biasa pelaksanaan hukuman mati sehingga saat hukuman bunuh dihapuskan Presiden François Mitterrand pada tahun 1981.[2] Di Jerman, gilotin kerap kali digunakan dalam zaman Reich Ketiga dan digunakan sehingga tahun 1966 di Republik Demokratik Jerman (bekas Jerman Timur), dan di Perancis sehingga 1977 ketika mana alat ini digunakan untuk melaksanakan hukuman bunuh terhadap Hamida Djandoubi.