Hubungan luar Filipina berasaskan perdagangan dengan negara-negara lain serta kebajikan 10 juta orang Filipina yang tinggal di luar negara.[1] Sebagai negara pengasas dan anggota aktif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Filipina pernah dipilih beberapa kali untuk menyertai Majlis Keselamatan. Carlos P. Romulo merupakan bekas Presiden Perhimpunan Am Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Filipina aktif dalam Majlis Hak Asasi Manusia serta misi pengamanan, khususnya di Timor Leste.[2][3][4]
Di samping menganggotai PBB, Filipina juga merupakan negara pengasas ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara), sebuah pertubuhan yang direka bagi mengukuhkan hubungan serta memupuk pembangunan ekonomi dan kebudayaan di kalangan negara-negara Asia Tenggara.[5] Filipina telah menjadi tuan rumah bagi beberapa sidang kemuncak ASEAN serta banyak menyumbang kepada hala tuju dan dasar-dasar blok serantau.[6]
Filipina menghargai hubungan dengan Amerika Syarikat.[1] Ia menyokong AS ketika Perang Dingin dan Perang terhadap Keganasan serta merupakan sekutu utama luar NATO. Biarpun sejarah begitu muhibah, namun dari masa ke semasa timbul kontroversi berkenaan kehadiran bekas pangkalan tentera Amerika Syarikat di Teluk Subic dan Clark serta Perjanjian Angkatan Melawat.[1] Jepun selaku penyumbang terbesar bantuan pembangunan rasmi kepada Filipina,[7] dianggap sebagai kawan. Biarpun masih ada ketegangan bersejarah tentang isu-isu seperti penderitaan wanita penghibur, namun kemarahan yang tercetus oleh memori Perang Dunia Kedua sudah banyak reda.[8]
Hubungan dengan negara-negara lain pada umumnya positif. Perkongsian nilai-nilai demokrasi memudahkan hubungan dengan negara-negara Barat dan Eropah sementara persamaan kepentingan ekonomi membantu hubungan dengan negara-negara membangun yang lain. Hubungan sejarah dan kebudayaan juga menjadi penjalin hubungan dengan negara Sepanyol.[9][10][11] Biarpun terjejas oleh isu-isu seperti penindasan dan kesan perang terhadap buruh Filipina,[12][13] namun hubungan dengan negara-negara Timur Tengah mesra seperti yang dicerminkan oleh dua juta orang Filipina yang masih diambil kerja di rantau tersebut.[14]
Kini ancaman komunis sudah lama reda, maka hubungan Filipina dengan China yang tegang pada 1950-an sudah banyak meningkat. Namun isu-isu berkenaan Taiwan, Kepulauan Spratly, dan kebimbangan atas meluasnya pengaruh tetap menyemai rasa berjaga-jaga.[8] Dasar luar baru-baru ini bertumpu pada hubungan ekonomi dengan negara-negara jiran Asia Tenggara dan Asia Pasifik.[1]
Filipina merupakan ahli aktif Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), Kesatuan Latin, Kumpulan 24, dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM). Ia juga ingin mengeratkan hubungan dengan negara-negara Islam dengan berkempen untuk diberi status pemerhati di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).[15][16]