James V | |
---|---|
Raja Scotland | |
Pemerintahan | 9 September 1513 – 14 Disember 1542 |
Kemahkotaan | 21 September 1513 |
Didahului oleh | James IV |
Diikuti oleh | Mary |
Pemangku raja | Lihat senarai
|
Keputeraan | 10 April 1512 Istana Linlithgow, Linlithgow, Scotland |
Kemangkatan | 14 Disember 1542 Istana Falkland, Fife, Scotland | (umur 30)
Pemakaman | 8 Januari 1543 Biara Holyrood |
Pasangan |
|
Anakanda lagi... | |
Kerabat | Stewart |
Ayahanda | James IV dari Scotland |
Bonda | Margaret Tudor |
Agama | Katolik |
Tandatangan |
James V (10 April 1512 – 14 Disember 1542; Jawi: جيمس کليما ) ialah Raja Scotland dari 9 September 1513 sehingga kemangkatannya pada tahun 1542. Baginda ditabalkan pada 21 September 1513 pada usia tujuh belas bulan. James ialah anak kepada Raja James IV dan Margaret Tudor, anak perempuan Henry VII dari England. Semasa zaman kanak-kanaknya Scotland ditadbir oleh pemangku raja, pertama oleh ibunya sehingga ibunya berkahwin semula, kemudian oleh anak saudara sepupunya, John Stewart, Duke dari Albany. James mula memerintah sendiri pada tahun 1528 selepas baginda akhirnya lepas daripada penjagaan bapa tirinya, Archibald Douglas, Earl dari Angus ke-6. Tindakan pertamanya ialah membuang Angus dari negeri dan merampas tanah bangsawan Douglas.
James melipat gandakan pendapatannya dengan mengetatkan kawalan ke atas estet-estet diraja dan keuntungan daripada kehakiman, cukai, dan hak daripada sistem feudal. Baginda mengasaskan Kolej Keadilan pada tahun 1532 dan bertindak untuk membanteras anarki dan pemberontakan di sempadan England-Scotland dan Hebrides. Persaingan antara Perancis, England dan Empayar Rom Suci memberi James kepentingan diplomatik, dan baginda mendapat dua perkahwinan Perancis yang beruntung dari segi politik dan kewangan, pertama dengan Madeleine dari Valois kemudian kepada Mary dari Guise. James juga mempunyai sekurang-kurangnya sembilan anak luar nikah dengan beberapa perempuan simpanan.
Pemerintahan James menyaksikan permulaan Protestantisme di Scotland, dan perpisahan bapa saudaranya Henry VIII dari England daripada Gereja Rom pada tahun 1530-an memberikan James kelebihan untuk tawar-menawar dengan kepausan, membolehkan James untuk meningkatkan kawalannya ke atas pelantikan gerejawi dan dividen daripada pendapatan gereja. Paus Paulus III juga memberinya gelaran Pembela Iman pada tahun 1537. James terus-menerus menghantar warkah diplomatik dengan pelbagai bangsawan dan penghulu Ireland sepanjang mereka menentang Henry VIII pada tahun 1530-an, dan pada tahun 1540 mereka menawarkan baginda jawatan raja Ireland. Sebagai penaung seni, James turut membelanjakan pembinaan beberapa kediaman diraja dalam gaya Goth Tinggi dan Renaissance.
James diperikan sebagai seorang raja yang pendendam, dan polisi-polisinya banyak didorong haloba serta paranoid akan golongan bangsawannya yang membawa kepada perampasan tanah mereka. Baginda juga pernah disifatkan sebagai "raja orang miskin", kerana baginda mudah dicapai orang miskin dan sering membela mereka daripada penindas. James mangkat pada Disember 1542 berikutan kekalahan Scotland oleh Inggeris dalam Pertempuran Solway Moss. Satu-satunya anak sahnya yang masih hidup, Mary, menggantikannya pada umur baru enam hari.