Kereta api lapangan terbang (juga dikenali sebagai rel lapangan terbang atau kereta api penghubung lapangan terbang) adalah suatu perkhidmatan pengangkutan rel yang menghubungkan lapangan terbang dengan pusat-pusat bandar atau pekan berhampiran,[1] melalui kereta api laluan utama atau komuter, alihan laju atau rel ringan. Sesetengah perkhidmatan menghubungkan secara terus di antara dua tempat tersebut, manakala beberapa sistem lain memerlukan transit rakyat atau bas ulang-alik sebagai khidmat pengantara.
Kebaikan prasarana kereta api lapangan terbang termasuklah masa perjalanan yang lebih cepat dan ketersambungan yang mudah dengan pengangkutan awam lain, manakala pihak-pihak berkuasa mendapat manfaat dengan kesesakan jalan raya dan tempat letak kenderaan yang berkurangan serta lebih mesra kepada alam sekitar dan mampu mengurangkan pencemaran.[2] Selain itu, kesalinghubungan tersebut turut memberi faedah kepada lapangan terbang untuk menarik lebih ramai penumpang melalui capaian yang lebih mudah.[3]