Laksamana Armada Louis Francis Albert Victor Nicholas Mountbatten, Earl Pertama Mountbatten dari Burma (lahir Putera Louis dari Battenberg; 25 Jun 1900 – 27 Ogos 1979), KG, GCB, OM, GCSI, GCIE, GCVO, DSO, PC, FRS[1], adalah seorang pegawai tentera laut British dan negarawan, pak cik kepada Putera Philip, Duke Edinburgh, dan sepupu kedua Elizabeth II. Semasa Perang Dunia II, beliau adalah Pemerintah Bersekutu Tertinggi, Markas Asia Tenggara (1943–46). Beliau merupakan Wizurai India (1947) yang terakhir dan Gabenor Jeneral pertama India merdeka (1947–48).
Dari tahun 1954 hingga 1959 beliau menjadi First Sea Lord, iaitu jawatan yang telah disandang oleh bapanya, Putera Louis Battenberg, empat puluh tahun yang lalu. Selepas itu beliau berkhidmat sebagai Ketua Turus Pertahanan sehingga tahun 1965, menjadikannya ketua profesional paling lama berkhidmat dalam Angkatan Tentera British setakat ini. Semasa tempoh itu Mountbatten juga berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Ketenteraan NATO selama setahun.
Pada tahun 1979, Mountbatten dan cucunya Nicholas, serta dua yang lain telah dibunuh oleh Tentera Republikan Sementara Ireland (IRA), yang telah meletakkan bom didalam bot memancingnya, Shadow V, di Mullaghmore, County Sligo, Ireland.