Nor Aniza Idris (lahir 27 Ogos 1968) lebih dikenali sebagai nama pentasnya, Noraniza Idris merupakan seorang penyanyi, pelakon, penerbit rakaman, penulis lagu Malaysia.[1][2][3] Noraniza merupakan salah seorang penyanyi Malaysia terbaik yang berjaya melahirkan album solo di setiap 4 dekad berturut selain M. Nasir, Anita Sarawak, Sharifah Aini, Khadijah Ibrahim, Jamal Abdillah, Ramlah Ram dan Siti Nurhaliza. Memulakan kerjaya nyanyian sejak 1985, Noraniza lebih mesra disapa Kak Ani cukup sinonim dengan lagu-lagu yang berentak irama Malaysia dan etnik kreatif sehingga beliau mendapat jolokan Ratu Irama Malaysia.
Sepanjang kerjaya muziknya, beliau telah menerbitkan 13 buah album solo, beberapa buah album kompilasi dan duet. Pada masa yang sama, Noraniza telah banyak meraih kejayaan di anugerah-anugerah besar muzik tanah air melalui albumnya, lagu dan persembahan pentas. Sehingga kini beliau masih kukuh di persada seni memperjuangkan irama budaya. Semangatnya tidak pernah mati memperjuangkan muzik tradisional dan lebih suku abad, Noraniza belum mahu berhenti malah melajukan gerakan bagi memastikan elemen kebanggaan Melayu ini terus bernafas di alaf digital.