Siri Sejarah Yunani | |
---|---|
Tamadun Aegea | Sebelum 1600 SM |
Yunani Mykenai | k.k. 1600–1200 SM |
Zaman Kelam Yunani | k.k. 1200–800 SM |
Yunani Purba | 776–323 SM |
Keyunanian | 323–146 SM |
Yunani Rom | 146 SM–330 |
Kerajaan Byzantion/Byzantium | 330–1453 |
Yunani Uthmaniyah | 1453–1832 |
Yunani moden | Selepas 1832 |
Mengikut topik | |
Bahasa Yunani | Kesusasteraan |
Sejarah ketenteraan | Nama-nama Yunani |
Orang Ionia (Yunani: Ἴωνες , Íōnes, tunggal Ἴων , Íōn) merupakan satu daripada empat puak besar yang orang Yunani menganggap diri mereka terbahagi kepada semasa zaman purba; tiga yang lain ialah orang Doria, Aeolia, dan Akhaia.[2] Dialek Ionia ialah salah satu daripada tiga pecahan bahasa utama dunia Yunani, bersama-sama dengan dialek Doria dan Aeolia.
Apabila merujuk kepada penduduk, "Ionia" merangkumi beberapa kaum di Yunani zaman klasik. Dalam erti paling sempit, perkataan ini merujuk wilayah Ionia di Asia Kecil. Dalam erti yang lebih luas, ia boleh digunakan untuk memerikan semua penutur dialek Ionia, yang selain daripada orang di Ionia juga termasuk orang Yunani di Euboea, Kyklades, dan banyak bandar yang diasaskan oleh peneroka-peneroka dari Ionia. Akhir sekali, dalam erti yang paling luas ia boleh memaksudkan semua orang yang bertutur bahasa-bahasa kumpulan Yunani Timur, yang termasuk Attika.
Mitos dari zaman Klasik mengatakan bahawa orang Ionia dinamakan sempena Ion, anak lelaki Xuthus, yang tinggal di utara wilayah Peloponnesos di Aigialeia. Sewaktu orang Doria menyerang orang Peloponnesos, mereka mengusir sekali orang Akhaia dari Argolis dan Lakedaemonia. Orang Akhaia kemudian berpindah ke Aigialeia (mula dari itu dikenali sebagai Akhaia), mengusir orang Ionia pula dari Aigialeia.[3] Orang Ionia berpindah ke Attika dan bercampur dengan penduduk Attika, dan bertahun-tahun kemudian berhijrah ke pesisir Anatolia dan mengasaskan wilayah Ionia. Menurut Herodotus, semua orang Ionia tinggal di Anatolia tanpa perempuan dan berkahwin dengan orang Caria di situ.[4]
Berbeza dengan orang Doria yang sederhana dan memfokuskan ketenteraan, orang Ionia terkenal dengan perasaan cinta mereka terhadap falsafah, seni, demokrasi dan kenikmatan—sifat-sifat Ionia yang paling terkenal diungkapkan oleh orang Athens.[5][halaman diperlukan][memerlukan petikan untuk diperiksa] Pusat pengajian falsafah Ionia, berpusat di Miletus, dicirikan dengan fokus pada menjelaskan fenomena semula jadi tanpa kaitan dengan makhluk ghaib dan mencari penjelasan rasional untuk alam semesta, memberikan asas kepada penyiasatan ilmiah dan pemikiran rasional dalam falsafah Barat.