Sejarah Sarawak adalah sebuah catatan lipatan sejarah yang pernah berlaku di Wilayah Sarawak sejak dari zaman prasejarah, zaman Kerajaan Kesultanan Brunei, zaman pemerintahan Rajah Putih Sarawak, era pentadbiran interim British selepas Perang Dunia Kedua, era pembentukan negara Malaysia, era konfrontasi Indonesia–Malaysia, kejayaan penghapusan gerila komunis di Sarawak, hinggalah ke zaman pemodenan wilayah Sarawak yang kita hayati dan kecapi hari ini.
Tidak semua generasi masa sekarang memahami isi-isi dan makna-makna tersirat yang amat mendalam mengenai sejarah asal kerajaan wilayah Sarawak. Banyak transformasi pembangunan berjaya dikecapi dan dilaksanakan sepenuhnya oleh barisan kepimpinan Kerajaan Sarawak pada hari ini. Namun apa yang menyedihkan adalah legasi sejarah asal usul wilayah Sarawak seolah-olah seperti ditinggalkan dan dilupakan oleh generasi masa kini.
Bermula dari 40,000 tahun yang lalu hingga ke zaman Paleolitik, di mana bukti terawal penempatan manusia ditemui di Gua Niah, disusuli dengan penemuan satu siri seramik Cina bertarikh dari abad ke-8 hingga ke-13 Masihi telah ditemui di tapak arkeologi Santubong.
Sejarah Sarawak tampak semakin mendebarkan apabila wilayah Sarawak ketika itu berada di bawah pengaruh Kerajaan Kesultanan Brunei pada abad ke-16. Kemunculan Sir James Brooke di Sarawak serta kewujudan Kerajaan Sarawak oleh keluarga Brooke semakin menguatkan lagi sejarah asal usul wilayah ini.
Kejatuhan wilayah Sarawak di tangan pihak tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua dan kewujudan pentadbiran kerajaan interim British Australia selepas perang adalah merupakan cabaran yang amat signifikan bagi wilayah Sarawak ketika itu. Pembentukan kawasan Tanah Jajahan Mahkota Sarawak dan tragedi pembunuhan Sir Duncan George Stewart yang dilakukan oleh Rosli Dhoby adalah merupakan peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh seluruh rakyat Sarawak ketika itu.
Kemuncak utama sejarah asal usul wilayah Sarawak ini adalah semestinya menjurus kepada penubuhan Suruhanjaya Cobbold, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), penyertaan Sarawak dalam Malaysia, peristiwa ketegangan serantau dan konfrontasi Indonesia–Malaysia, serta kejayaan kerajaan Sarawak menghapuskan sepenuhnya pergerakan gerila komunis dan juga menghapuskan fahaman komunis di Sarawak.
Sejarah Sarawak akhirnya lengkap dengan bermulanya era pemodenan wilayah Sarawak yang masih berterusan sehingga ke hari ini, serta cabaran-cabaran utama yang bakal dihadapi oleh Kerajaan Sarawak pada masa hadapan.