Sharnaaz Ahmad | |
---|---|
Kelahiran | Sharnaaz Ahmad bin Basir Ahmad 30 Ogos 1985 |
Pendidikan | Perakaunan Perniagaan |
Pusat pendidikan | Kolej Polytech MARA |
Pekerjaan | Pelakon, pengacara, pengarah, penerbit |
Tahun aktif | 2009–kini |
Pasangan | Noor Nabila Mohd Noor (k. 2017; c. 2020) |
Anak-anak | 1 |
Ibu bapa |
|
Sharnaaz Ahmad bin Datuk Basir Ahmad (lahir 30 Ogos 1985) ialah seorang pelakon, pengacara, pengarah dan penerbit lelaki Malaysia.[1][2][3] Beliau memulakan kerjaya lakonan pada tahun 2009 menerusi watak pembantu dalam drama bersiri Tari Tirana arahan Shahrulezad Mohameddin sebelum diberi watak yang lebih besar dalam drama bersiri komedi K.I.T.A. dan Dottie pada tahun 2010. Biarpun bermula menerusi watak ringan,[4][5] nama Sharnaaz mula meniti bibir peminat apabila pengarah Michael Ang memberi peluang kepadanya membawa watak serius sebagai Afandi dalam telefilem Ungunya Cinta. Sejak itu, Sharnaaz telah membintangi beberapa siri drama televisyen terkenal seperti Bukan Bidadari (2012), Bukan Kerana Aku Tak Cinta (2013), Suamiku Encik Sotong (2014), Mencintaimu (2015), Mr. Hijab (2017), Cinta Bukan Kristal (2018), Lelakimu Yang Dulu (2019) dan I Promise Janji Anaqi (2021). Beliau membuat penampilan sulungnya di layar lebar menerusi filem Seru (2011) sebelum membintangi dalam beberapa filem seperti Juvana (2013), Sembunyi: Amukan Azazil (2013), Dollah Superstar (2014), Gila Baby (2014), Jebat (2020) dan Polis EVO 3 (2023).
Sharnaaz mula menduduki kerusi pengarah dengan mengarahkan telefilem pertamanya, Lukisan Cinta (2017) yang mana beliau sendiri turut berlakon. Beliau turut menggalas tanggungjawab sebagai penerbit untuk telefilem Raya Talak Satu dan Jangan Masuk Rumahku. Sepanjang kerjaya lakonannya, beliau cukup dikenali dengan watak-watak antagonis serta antihero dan telah bekerjasama dengan ramai pelakon seangkatannya seperti Amar Baharin, Farid Kamil, Nelydia Senrose, Nad Zainal dan Emma Maembong selain dikaitkan dengan banyak isu dan kontroversi.[6] Beliau telah menerima pelbagai anugerah dan pencalonan atas bakat lakonannya,[7] antaranya ialah Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Anugerah Skrin, Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur dan Anugerah MeleTOP Era.