Dalam bidang pemasakan, sos (Mal., Sin., Bru.) atau saus (Ind.) ialah makanan cecair, krim, atau separa pepejal baik manis atau berlauk yang disajikan atau digunakan dalam menyediakan makanan lain; ia suatu elemen penting dalam masakan di seluruh dunia. Sos tidak biasanya dimakan begitu sahaja; ia bertujuan untuk menambah rasa, kelembapan, dan tarikan visual kepada hidangan. Ia boleh tersaji sejuk (seperti mayones dan sos epal), suam-suam kuku (seperti pesto) atau hangat (seperti sos Béchamel).
Kedua-dua kata "sos" dan "saus" serapan Bahasa Perancis (masing-masing melalui sauce dalam bahasa Inggeris dan saus dalam bahasa Belanda) seturunan akar bahasa Latin salsa bentuk muanas kata sifat salsus "diasinkan".[1] Mungkin catatan paling tertua sos Eropah ialah garum, sos ikan yang digunakan oleh Orang Yunani Kuno; sementara itu doubanjiang, pes kacang soya Cina turut disebutkan dalam Rites of Zhou pada abad ke-3 SM.