Strawberi ستوبيري | |
---|---|
![]() | |
Buah strawberi | |
Pengelasan saintifik ![]() | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Plantae |
Klad: | Trakeofit |
Klad: | Eudikot |
Klad: | Rosid |
Order: | Rosales |
Keluarga: | Rosaceae |
Genus: | Fragaria |
Spesies: | F. × ananassa
|
Nama binomial | |
Fragaria × ananassa |
Strawberi kebun (atau sekadar strawberi; Fragaria × ananassa)[1] ialah spesies hibrid dari genus Fragaria yang secara lazim dikenali sebagai "strawberi", dan ditanam di seluruh dunia untuk memperoleh buahnya. Buah ini sangat dihargai oleh kerana aroma khasnya, warna merah terang, tekstur berair dan rasa manis. Strawberi dimakan dalam jumlah yang besar, baik secara segar atau dalam makanan diproses seperti jem, jus, pai, ais krim dan coklat. Perisa dan aroma strawberi buatan juga banyak digunakan dalam produk seperti gula-gula, sabun, gincu dan minyak wangi.
Strawberi kebun pertama kali dibiakkan di Brittany, Perancis pada 1750-an melalui kacukan Fragaria virginiana dari timur Amerika Utara dan Fragaria chiloensis yang dibawa dari Chile oleh Amédée-François Frézier pada 1714.[2] Kultivasi Fragaria × ananassa dalam bidang pertanian komersial telah menggantikan strawberi hutan (Fragaria vesca) yang merupakan spesies strawberi pertama yang ditanam pada awal abad ke-17.[3] Pada 2019, pengeluaran strawberi dunia ialah sekitar 9 juta tan dengan China menakluki 40% pengeluaran strawberi secara global.
Sungguhpun dengan namanya, strawberi bukanlah sejenis beri berdasarkan aspek botani. Secara teknikal, ini adalah buah aksesori agregat, yang bermaksud bahawa bahagian buah tidak berpunca daripada ovari tumbuhan tetapi dari reseptakel yang menahan ovari.[4] Setiap "biji" yang kelihatan di luar buah sebenarnya merupakan ovari bunga, dengan biji di dalamnya.[4]