Temenggung Johor atau Dato' Temenggung Seri Maharaja Johor ialah salah seorang anggota Majlis Orang Kaya yang ditubuhkan sendiri oleh Sultan Abdul Jalil Shah III. Temenggung Johor diberikan tugas untuk mengawal keselamatan Sultan dan menjaga keamanan Negeri serta berkuasa mengawasi segala teluk rantau jajahan Empayar Johor. Temenggung Johor telah diberikan kawasan pegangan oleh Sultan Johor iaitu tanah besar Johor dan Singapura sebagai wakil Sultan Johor-Riau, sama seperti Bendahara yang diberikan Pahang sebagai kawasan pegangan, Yang Dipertuan Muda memerintah Riau dan Raja Temenggung Muar di Muar. Keturunan Temenggung kemudiannya mengasaskan Kesultanan Johor Moden di tanah besar Johor dengan Sultan Johor Moden pertama dari Wangsa Temenggung ialah Sultan Sir Abu Bakar I.