Jenis | Akhbar mingguan Isnin |
---|---|
Format | Tabloid |
Diasaskan | 29 Mei 1939 |
Pemihakan politik | Pro-kerajaan |
Bahasa | Jawi |
Dihentikan penerbitan | 9 Oktober 2019 |
Ibu pejabat | 46M, Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur, Malaysia |
Edaran | 256,247 *Sumber: Audit Bureau of Circulations, 2004 |
Pemilik | Kumpulan Utusan |
Penerbit | Utusan Melayu (M) Berhad |
Utusan Melayu merupakan sebuah surat khabar mingguan Malaysia. Diterbitkan dalam tulisan Jawi, akhbar ini mula diterbitkan di Singapura pada 29 Mei 1939 oleh Utusan Melayu Press Limited (UMPL).[1][2] Ia merupakan sisipan akhbar nasional bagi Utusan Malaysia yang diedarkan setiap Isnin. Kandungan yang terdapat di dalam akhbar ini bercirikan berita semasa dalam dan luar negeri, pendidikan jawi, cerpen, hiburan, dan sukan. Utusan Melayu merupakan penerbitan penting kerana ia merupakan akhbar Melayu pertama yang dimiliki sepenuhnya, dibiayai, ditulis dan diuruskan oleh orang Melayu.[3]
Kelahiran Utusan Melayu merupakan detik penting bagi pertubuhan politik Kesatuan Melayu Singapura kerana ia menandakan kebangkitan dan kemajuan orang Melayu sebagai sebuah bangsa. Akhbar ini ditubuhkan bukan untuk menyaingi akhbar lain tetapi untuk berkhidmat kepada bangsa, agama dan watan orang Melayu.[4][5][6] Yusof Ishak, yang kemudiannya menjadi Yang di-Pertuan Negara Singapura pertama kelahiran Malaya dan seterusnya presiden pertama, merupakan salah seorang penggerak utama akhbar itu. Cetakan terakhir Utusan Melayu tulisan Jawi ialah pada 31 Disember 2002 dan akhbar ini dihentikan penerbitannya pada 1 Januari 2003. Namun begitu, Lembaga Pengarah Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah membuat keputusan untuk menutup operasi syarikat itu pada 9 Oktober 2019, setelah berpendapat bahawa Utusan tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan.[7][8][9]