Untuk melihat air dari segi perspektif kimia dan teknikal, sila lihat Air (molekul). Untuk melihat rencana air dari segi Islam untuk bersuci, sila lihat Air (bersuci)
Air (Jawi: اءير , formula kimia: H2O) merupakan bahan kimia yang berada dalam bentuk cecair pada tekanan biasa dan pada suhu bilik. Air yang tulen tiada rasa, warna atau bau.[1] Formula kimianya menunjukkan satu molekul air terbina daripada dua atom hidrogen dan satu atom oksigen. Setiap kehidupan di bumi ini memerlukan air untuk terus hidup.
Air wujud dalam 3 bentuk iaitu pepejal, cecair, dan gas.[1] Air dalam bentuk cecair adalah bentuk air yang paling utama ditemui di muka bumi ini. Air dalam bentuk gas adalah kukus atau wap air yang dihasilkan apabila air disejat atau dididihkan. Air dalam bentuk pepejal adalah ais yang dihasilkan apabila air dibekukan. Air meliputi 71% daripada permukaan Bumi, banyaknya di laut dan lautan (kira-kira 96.5%).[2]
Perkataan "air" diturunkan dari akar Melayu Polinesia Purba *wahiR yang dahulunya lebih khusus bermaksud "air tawar" atau "sungai".[3]