Iklim savana tropika atau iklim lembap kering tropika ialah sejenis iklim yang berpadan dengan kategori Aw dan As dalam sistem pengelasan iklim Köppen. Iklim-iklim ini mengalami suhu min bulanan melebihi 18º C setiap bulan dalam setahun serta musim kering yang ketara, iaitu sebulan terkering yang mengalami kerpasan yang kurang daripada 60 mm dan juga kurang daripada (100 − [jumlah kerpasan tahunan {mm}/25]), berbanding dengan iklim monsun tropika yang bulan terkeringnya juga mengalami kerpasan kurang daripada 60 mm tetapi lebih daripada (100 − [jumlah kerpasan tahunan {mm}/25]). Oleh yang demikian, iklim savana tropika sering mengalami musim kering yang lebih ketara berbanding iklim monsun tropika.
Kebanyakan tempat yang mengalami iklim ini ditemui di pinggir luar zon tropika, tetapi adakalanya lokasi antara tropika (cth. San Marcos, Antioquia, Colombia) juga diambil kira. Sebenarnya, pantai Caribbean, ke arah timur dari Teluk Urabá di sempadan Colombia–Panamá hingga ke delta sungai Orinoco di lautan Atlantik (ca. 4,000 km), mengalami musim kering yang berpanjangan (yang paling kering ialah iklim BSh (lihat di bawah), dicirikan oleh kerpasan yang amat rendah, misalnya terdapat di Guajira, dan Coro, Venezuela barat, iaitu semenanjung paling utara di Amerika Selatan, yang menerima jumlah kerpasan tahunan kurang 300 mm, itupun semuanya dalam dua tiga bulan sahaja). Keadaan iklim ini juga dialami di Antillen Kecil dan Antillen Besar yang membentuk kawasan kering lilit-Caribbean. Kepanjangan dan keamatan musim kemarau ini semakin kurang dirasai di kawasan pedalaman (arah selatan); di garis lintang sungai Amazon — yang mengalir ke arah timur, dekat selatan garisan khatulistiwa — iklimnya ialah Af. Dari timur banjaran Andes, di antara rantau Caribbean yang kering gersang dan Amazon yang sentiasa lembap terletaknya llanos atau savana sungai Orinoco, yang meminjamkan namanya kepada iklim ini.
Adakalanya As menggantikan Aw jika musim kering terjadi pada kala matahari lebih tinggi dan waktu siang lebih panjang, seperti di beberapa kawasan di Hawaii, Afrika Timur (Mombasa, Kenya) dan Sri Lanka (Trincomalee). Di kebanyakan tempat yang mengalami iklim lembap kering tropika pula, musim kering berlaku pada kala matahari lebih rendah dan waktu siang lebih singkat kesan bayang hujan ketika kala matahari tinggi.