Intan (Jawi: اينتن ) atau berlian (Jawi: برليان , berakar daripada Perancis: brillant terbitan kata briller "bersinar" melalui serapan Belanda: briljant[1]) merupakan suatu galian bentuk berkristal, atau karbon allotrop, (allotrop karbon termasuk grafit dan fullerena). Ia merupakan galian yang paling terkenal dan berguna di antara 3,000 jenis mineral yang diketahui; batu ini paling didambakan kerana mutu fizikalnya yang hebat, terutamanya kekerasan dan optik yakni keupayaan menyelerakkan cahaya. Ciri-ciri ini dan yang lain menjadikan berlian digemari sebagai barangan perhiasan dan pelbagai kegunaan pengilangan.
Kebanyakan berlian dilombong daripada lohong luahan gunung berapi daripada isi perut bumi yang berkedalaman sehingga 90 batu (150 km) jauh dalam Bumi, di mana adanya tekanan dan suhu sesuai galian ini terhasil secara semulajadinya. Kebanyakan batu ini dilombong dari tengah dan selatan Afrika, namun sejumlah besarnya turut dijumpai di Kanada, Russia, Brazil, dan Australia. Sekitar 130 juta karat (26,000 kg) berlian dilombong setiap tahun, dengan jumlah keseluruhan hampir $9 billion. Sebagai tambahan, hampir empat kali ganda daripada jisim itu dihasilkan manusia secara sintetik.
Galian ini dikatakan mula dikenali dalam ketamadunan India sejak penemuan bahan sebegini yang dikaji wujud sepanjang sungai-sungai Penner, Krishna and Godavari dari seawal 3 hingga 6 alaf;[2] intan berlian ini ada dipakai dalam hiasan patung berhala mereka. Kemajuan teknologi melombong serta menggilap bahan ini sehingga memenuhi kehendak pasaran dunia yang semakin meningkat beserta pengiklanan dan pemasaran bahan ini yang berkesan menjadikan batu galian ini sangat direbutkan sejak abad ke-19.[3]