Karang Julat zaman:
| |
---|---|
Singkapan batu karang di Terumbu Sawar Besar, Australia | |
Pengelasan saintifik | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Haiwan |
Filum: | Cnidaria |
Kelas: | Anthozoa Ehrenberg, 1834 |
Subbahagian | |
Karang (Jawi: كارڠ ) atau lebih umum dikenali sebagai batu karang adalah sejenis invertebrat laut yang tergolong dalam kelas Anthozoa, di bawah filum Cnidaria. Hidupan ini lazimnya terdiri daripada sekelompok polip yang membentuk sebuah koloni yang padat. Antara spesies karang termasuk pembina terumbu karang yang menghuni laut tropika dan mengeluarkan kalsium karbonat untuk membentuk kerangka keras.
Sesebuah batu karang merupakan koloni yang terbentuk daripada sejumlah besar polip seiras genetik. Setiap polip adalah seekor haiwan berbentuk kantung yang lebarnya beberapa milimeter dan tingginya beberapa sentimeter. Bukaan mulutnya dikelilingi oleh serangkai sesungut (tentakel). Setiap polip mengumuhkan rangka luar dekat tapaknya. Lama-kelamaan, koloni karang membentuk kerangka yang menjadi ciri-ciri spesiesnya dan boleh mencapai bermeter-meter panjangnya. Setiap koloni individu tumbuh melalui pembiakan polip secara aseks. Karang juga membiak secara seks secara membenih, yang mana polip-polip sama spesies melepaskan gamet secara serentak pada waktu malam, biasanya ketika bulan purnama. Telur yang disenyawakan menjadi planula, iaitu peringkat larva bergerak-gerak yang mencari tempat untuk membentuk koloni baharu setelah matang.
Sesetengah karang boleh menangkap plankton dan ikan kecil dengan menggunakan sel-sel penyengat (nematosista) pada sesungutnya, namun kebanyakan karang menerima sejumlah besar tenaga dan zat daripada mikrob dinoflagelat unisel fotosintetik dari genus Symbiodinium yang hidup di dalam tisunya, dikenali sebagai zooxantela dan memberikan warna kepada karang. Karang-karang sedemikian memerlukan cahaya matahari dan tumbuh dalam air yang cetek dan jernih, biasanya dalam julat kedalaman 60 meter (200 kaki; 33 fathom). Karang adalah penyumbang utama kepada binaan fizikal terumbu karang yang terbentuk di perairan tropika dan subtropika sepert Terumbu Sawar Besar berhampiran Australia. Karang-karang ini semakin terancam daripada peristiwa pelunturan di mana polip-polip mengusir keluar zooxanthellae untuk menanggung tekanan seperti suhu air meningkat atau kehadiran toksin-toksin.