Kitab Yunus adalah kitab kelima dalam kumpulan kitab yang disebut kitab "Nabi-nabi Kecil" dalam Perjanjian Lama. Kitab ini berbeza dengan kitab-kitab nabi yang lain kerana kitab ini tidak berisi ucapan-ucapan si nabi kepada Bani Israel, melainkan menceritakan pengalaman Nabi Yunus, ketika baginda cuba menghindari perintah Tuhan.
Dalam bahasa Ibrani, Yunus disebut Yonah yang bererti “merpati”. Tokoh Yunus sendiri didasarkan pada tokoh yang tak begitu dikenali, yang hidup pada masa pemerintahan Yerobeam II (786-746 SM). Dalam Perjanjian Lama, Yunus bin Amittai hanya disebutkan di luar kitab Yunus sendiri yakni dalam II Raja-raja 14:25. (Untuk maklumat lebih jauh tentang tokoh ini sendiri, lihat rencana Yunus). Kitab ini sendiri kemungkinan ditulis pada masa pasca-pembuangan (setelah 530 SM) dan didasarkan pada tradisi lisan yang telah diturunkan sejak abad ke-8 SM. Yunus dianggap sebagai salah seorang nabi kecil, kerana buku aslinya ditulis bersama-sama dengan kitab-kitab kenabian lainnya yang lebih kecil dalam sebuah golongan sahaja (yang juga dikenali sebagai Kitab yang duabelas).
Sebagai bahagian dari Perjanjian Lama, kitab ini terdapat dalam Tanakh Yahudi dan Alkitab Kristian. Kisahnya mempunyai sejarah penafsiran yang menarik (lihat bawah) dan telah menjadi cerita termasyhur melalui cerita-cerita popular kanak-kanak. Dalam Agama Yahudi kitab ini adalah Haftarah untuk dibaca pada waktu sore ketika perayaan Yom Kippur kerana kisahnya sendiri menceritakan kesediaan Allah untuk mengampuni mereka yang bertaubat.