Kitaran Epik (Bahasa Yunani Kuno: Ἐπικὸς Κύκλος , Epikòs Kýklos) ialah koleksi puisi epik Yunani Kuno, yang dikarang dalam satmatra daktil dan menceritakan kisah Perang Troia, termasuk Cypria, Aethiopis, Iliad Kecil, Iliupersis, Nostoi dan Telegony. Ahli sarjana kadangkala mengira sekali dua buah epik Homeros—Iliad dan Odysseia—dalam puisi-puisi Kitaran Epik. Akan tetapi, frasa ini lebih kerap digunakan untuk membezakan puisi bukan gaya Homeros dengan puisi Homeros.
Berbeza daripada Iliad dan Odysseia, epik kitaran hanya tinggal sebahagian dan dalam bentuk ringkasan sahaja dari Zaman Baharian Lewat dan zaman Byzantium.
Kitaran Epik ialah cerita-cerita yang ditulis daripada tradisi lisan yang berkembang pada Zaman Kegelapan Yunani, yang sebahagiannya berdasarkan pemujaan wira-wira rakyat. Kisah-kisah epik ini diilhamkan oleh budaya Mykenai dari Zaman Gangsa tetapi ditulis dari sudut pandangan Zaman Besi dalam sejarah Yunani.
Kitaran Epik yang lebih panjang, seperti yang diterangkan oleh sarjana abad ke-9 SM dan pendeta Photius dalam kodeks 239 Bibliotheca beliau, juga memasukkan Titanomaki (abad ke-8 SM) dan Kitaran Thebai (antara 750 dan 500 SM), yang mengandungi Oedipodea, Thebaid, Epigoni, dan Alcmeonis; walau bagaimanapun, pasti tiada satu pun epik kitaran (selain oleh Homeros) yang masih wujud ke zaman Photius, dan kemungkinan Photius bukannya merujuk kepada koleksi yang asal. Sarjana moden biasanya tidak memasukkan Kitaran Thebai dalam Kitaran Epik.