Istilah Orang Laut secara umumnya merangkumi pelbagai jenis suku dan kelompok kecil yang mendiami persisiran pantai dan pulau-pulau luar persisir di selatan Semenanjung Malaysia, timur pulau Sumatera serta pulau-pulau dan muara sungai di Kepulauan Riau, Batam, Tujuh dan Singapura.[1] Mereka adalah penduduk peribumi di sepanjang perairan dan daratan sisir selatan Semenanjung Malaysia, Singapura dan timur pulau Sumatera.[2]
Orang Laut tinggal di dalam sejenis rumah perahu yang dipanggil 'sampan panjang'. Mereka lebih gemar tinggal di dalam sampan panjang di permukaan laut daripada hidup di atas darat.[3] Malahan mereka juga sering berpindah-randah dan berkelana dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Kaum Orang Laut memiliki banyak persamaan dengan orang Melayu dari segi kebudayaan dan bahasa; bahkan mereka juga dianggap terangkum sebagai Melayu Proto.[2] Bahasa kaum ini dikenali sebagai bahasa Orang Laut yang merangkumi pelbagai jenis loghat suku. Mereka pada umumnya mencari rezeki dengan bekerja sebagai nelayan.