Pelangi (Jawi: ڤلاڠي ) merupakan fenomena optik dan meteorologi yang terhasil berikutan pemantulan, pembiasan dan penyerakan spektrum cahaya yang terkena titisan air; ia lazim boleh diperhatikan (hampir) selanjar di langit apabila matahari bersinar semasa hujan turun. Ia merupakan satu lengkung yang berwarna-warni dengan warna merah di lengkung paling luar dan ungu di lengkung paling dalam. Mengikut urutan, warnanya ialah merah, jingga, kuning, hijau, biru, nila dan ungu.
Pelangi dihasilkan apabila cahaya terbias melalui titik air di udara, maka pelangi selalu dapat dilihat selepas hujan. Ia berbentuk melengkung bulat mengikuti bentuk bulat/sfera titisan air di udara, namun separuh bahagian bawah pelangi ini biasanya terhalang daripada diperhatikan kerana "terlindung" oleh ufuk bumi.[1] Fenomena pelangi ini juga boleh dilihat dengan membelakangi matahari dan menyembur air pada hari yang cerah.