Songkok (Jawi: سوڠكوق )[1][2] atau peci ([pé.ci], Jawi: ڤيچي ;[3] juga diberi nama kopiah di Indonesia) merupakan sejenis topi tradisional bagi orang Melayu dihasilkan daripada kain kapas, flanel atau baldu.[1] Ia boleh dipakai sebagai pelengkap kepada baju Melayu mahupun pakaian sut Barat yang dipakai untuk menghadiri majlis-majlis tertentu. Songkok ini popular bagi masyarakat Melayu di Malaysia, Singapura, Indonesia dan selatan Thailand. Songkok menjadi pemakaian kepala yang rasmi ketika menghadiri acara-acara rasmi seperti majlis perkahwinan, upacara keagamaan (terutamanya solat Jumaat) dan sambutan keraian Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.