Hos Bandar | Barcelona, Catalonia, Sepanyol |
---|---|
Cogan kata | "Kawan Sepanjang Hayat" (Bahasa Inggeris: Friends For Life) (Bahasa Catalonia: Amics Per Sempre) (Bahasa Sepanyol: Amigos Para Siempre) |
Negara | 169 |
Atlet | 9,356 orang (6,652 lelaki, 2,704 wanita) |
Acara | 257 acara dalam 25 sukan |
Pembukaan | 25 Julai 1992 |
Penutupan | 9 Ogos 1992 |
Dibuka oleh | |
Kawah Obor | Antonio Rebollo (pemanah paralimpik) |
Stadium | Stadium Olimpik Montjuïc |
Musim Panas Musim Sejuk
Sukan Paralimpik Musim Panas 1992 |
Sukan Olimpik Musim Panas 1992 (bahasa Inggeris: 1992 Summer Olympics , Sepanyol: Juegos Olímpicos de Verano de 1992 , Catalan: Jocs Olímpics d'estiu de 1992 ), atau secara rasminya Sukan Olimpik XXV (bahasa Inggeris: Games of the XXV Olympiad ) dan dikenali juga sebagai Barcelona '92, merupakan sebuah acara pelbagai sukan yang telah dianjurkan di Barcelona, Sepanyol dari 25 Julai hingga 9 Ogos 1992. Temasya ini merupakan kali pertama dan kali yang terakhir (setakat ini) Sepanyol menganjurkan Sukan Olimpik. Bermula dari tahun 1994, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah membuat keputusan untuk menganjurkan Sukan Olimpik Musim Panas dan Musim Sejuk pada tahun yang berbeza, maka temasya ini juga merupakan kali terakhir kedua-dua acara sukan tersebut diadakan pada tahun yang sama.[2] Temasya ini juga merupakan Sukan Olimpik pertama yang dianjurkan selepas berakhirnya Perang Dingin serta merupakan edisi Sukan Olimpik pertama sejak 1972 yang tidak mengalami sebarang boikot dari negara pesertanya.[3] Afrika Selatan juga dibenarkan semula untuk menyertai Sukan Olimpik setelah dilarangkan daripada menyertai apa-apa jua pertandingan sukan antarabangsa selama 32 tahun akibat pengamalan polisi Aparteid di negara tersebut.[4] Pasukan Bersatu (yang terdiri daripada ahli negara Kesatuan Soviet) mendapat tempat pertama dalam jadual pingat tersebut dengan 45 buah pingat emas dan 112 buah pingat Olimpik.
Badminton dan besbol pertama kali dijadikan sebagai acara teras rasmi Sukan Olimpik. Kategori perempuan bagi judo dan kategori slalom bagi kanu juga pertama kali dipertandingkan dalam Sukan Olimpik. Pada Barcelona 1992, pemain-pemain NBA dibenarkan buat pertama kali untuk bertanding dalam Sukan Olimpik. Ekoran daripada keputusan tersebut, pasukan bola keranjang Amerika Syarikat dianggotai oleh pemain-pemain bola keranjang yang terbaik di dunia pada masa tersebut seperti Michael Jordan dan Magic Johnson.[5][6] Pasukan tersebut diberi gelaran "Dream Team" (Pasukan Impian) dan telah memenangi pingat emas dalam acara tersebut dengan perbezaan mata yang sangat besar (secara puratanya 44 mata).[7][8]