Kumpulan unsur 3 juga dipanggil kumpulan skandium merupakan unsur kimia yang terkandung dalam lajur ke-3 jadual berkala unsur.
Memandangkan IUPAC tidak mencadangkan format spesifik untuk jadual berkala, oleh sebab itu, beberapa variasi bagi jadual berkala adalah dibenarkan dan selalu digunakan untuk kumpulan 3. Logam peralihan blok d di bawah sentiasa dianggap sebagai ahli kumpulan 3:
- skandium (Sc), unsur yang lebih banyak ditemui di matahari dan sesetengah bintang berbanding bumi, sangat lembut dan sangat cepat bertindak balas dengan kebanyakan asid.
- ytrium (Y), unsur yang banyak terkandung dalam batu-batuan bulan dan digunakan untuk menghasilkan warna merah pada kaca televisyen.
Apabila merumuskan unsur kumpulan 3 yang lain, 4 variasi yang berlainan boleh wujud:
- Sesetengah jadual memasukkan lantanum (La) dan aktinium (Ac), (unsur pertama dalam siri lantanida dan aktinida masing-masing) sebagai unsur kumpulan 3 yang selebihnya. Dalam bentuk ion tripositif yang biasa ditemui bagi kedua-dua unsur tersebut, unsur ini tidak mengandungi sebarang orbital f yang terisi, dengan itu menyebabkannya mempunyai sifat lebih menyerupai blok d.
- Sesetengah jadual memasukkan lutetium (Lu) dan lawrensium (Lr) sebagai ahli kumpulan 3 yang selebihnya. Unsur-unsur ini adalah unsur yang paling akhir dalam siri lantanida dan aktinida masing-masing. Memandangkan petala-f secara nominalnya penuh bagi konfigurasi elektron pada keadaan asas(ground state) untuk kedua-dua logam ini, ia menunjukkan ciri-ciri hampir seperti logam blok d , yang mana mempamerkan persamaan dengan sifat bagi Sc dan Y. Untuk Lr, ciri-ciri ini hanyalah dijangkakan sahaja, tetapi ia belum pernah dikaji sepenuhnya kerana tidak terdapat kuantiti yang mencukupi.
Sesetengah jadual pula merujuk kepada semua ahli dalam lantanida dan aktinida sebagai tanda dalam kumpulan 3. Berikut adalah alternatif ke-3 dan ke-4 yang dicadangkan:
- Alternatif ke-3 merujuk kepada kesemua 30 unsur lantanida dan aktinid sebagai ahli Kumpulan 3. Lantanida, sebagai logam trivalen elektropositif, kesemuanya memiliki hubungan kimia yang hampir sama, dan kesemuanya menunjukkan banyak persamaan dengan Sc dan Y.
- Variasi keempat pula tidak memasukkan mana-mana ahli lantanida dan aktinida dalam Kumpulan 3. Ahli-ahli lantanida memiliki sifat atau ciri-ciri tambahan bagi sebahagian orbital f-nya yang terisi yang mana adalah tidak sama dengan Sc dan Y. Selain itu, aktinida menonjolkan lebih banyak ketaksamaan kimia (seperti lingkungan tahap pengoksidaan) jika dibandingkan dengan siri lantanida, Sc dan Y.