Pemvaksinan | |
---|---|
![]() Seorang kanak-kanak menerima vaksin polio | |
ICD-9-CM | 99.3-99.5 |
Pemvaksinan atau vaksinasi ialah pemasukan bahan antigen (iaitu vaksin) untuk merangsang sistem keimunan individu untuk mengembangkan keimunan adaptif terhadap sesuatu patogen. Vaksin boleh mencegah atau memperbaiki kesan buruk jangkitan. Keberkesanan pemvaksinan telah dikaji dan disahkan secara meluas; contohnya, vaksin influenza,[1] vaksin HPV,[2] dan vaksin cacar air.[3] Pemvaksinan adalah kaedah yang paling berkesan dalam mencegah penyakit berjangkit;[4] keimunan menyeluruh daripada pemvaksinan merupakan faktor utama bagi terhapusnya cacar di seluruh dunia, serta sekatan terhadap penyakit-penyakit seperti polio, demam campak, dan tetanus di kebanyakan negara.
Agen aktif sesuatu vaksin mungkin merupakan bentuk patogen penyebab penyakit yang dalam keadaan baik tetapi dilumpuhkan (tidak berjangkit) atau dilemahkan (kurang daya berjangkit), atau komponen-komponen patogen yang ditulenkan dan didapati tinggi imunogen (contoh, protein lapisan luaran virus). Toksoid dihasilkan untuk pengimunan terhadap penyakit berasaskan toksin, misalnya pengubahsuaian toksin tetanospasmin pada tetanus untuk membuang kesan toksiknya sambil memelihara kesan imunogennya.[5]
Cacar merupakan penyakit pertama yang cuba dicegah oleh manusia dengan sengaja menginokulasi dirinya dengan jangkitan lain[6][7], malah ia merupakan penyakit pertama yang mendapat vaksin sendiri. Vaksin cacar dicipta pada tahun 1796 oleh pakar perubatan British bernama Edward Jenner. Sungguhpun hanya sekurang-kurangnya enam orang pelopor lain yang telah menggunakan prinsip yang sama sebelum beliau,[8] namun Jenner merupakan tokoh pertama yang berjaya menerbitkan bukti keberkesanan vaksin tersebut serta panduan penggunaannya. Louis Pasteur memajukan konsep vaksin menerusi usaha perintisan beliau dalam bidang mikrobiologi. Pengimunan itu bergelar pemvaksinan bersempena sejenis virus yang menyerang lembu iaitu Variolae vaccinae (Vaccinae berakar daripada vacca yamg bermaksud lembu dalam bahasa Latin).[6][8] Cacar merupakan penyakit berjangkit pembunuh yang menyebabkan kematian 20–60% orang dewasa terjangkit dan lebih 80% kanak-kanak terjangkit[9], bahkan ia telah menyebabkan kematian sebanyak kira-kira 300–500 juta orang pada abad ke-20 sahaja sehingga tahun 1979 apabila penyakit tersebut telah dihapuskan langsung dengan rasminya.[10][11][12]
|month=
ignored (bantuan)CS1 maint: multiple names: authors list (link)
|month=
ignored (bantuan)