Pencakar langit, (Tulisan Jawi: ڤنچاکر لاڠيت ) ialah sebuah bangunan yang sangat tinggi terdiri daripada banyak tingkat menempatkan ruang pelbagai fungsi termasuk pejabat, gudang kedai dan perumahan. Tidak terdapat takrifan yang dipersetujui umum mengenai ketinggian tepat yang melayakkan sesebuah bangunan dikelaskan sebagai "pencakar langit" tetapi banyak sumber penting menjulatkan ia antara 100[1] hingga 150 meter pada paling minimumnya.[2] Ketinggian yang ditetapkan untuk setiap pencakar langit berbeza-beza mengikut bandar, dan bergantung kepada kesan ketinggian bangunan itu kepada latar belakang bandar itu.
Istilah "pencakar langit" adalah pinjam terjemah ungkapan asal dalam bahasa Inggeris iaitu skyscraper,[3] suatu istilah merujuk kepada sebarang benda yang menonjol tinggi terutamanya dalam bidang pelayaran kepada tiang tertinggi sesebuah kapal layar.[4]:ix Perkaitan pengungkapan ini dengan binaan di darat pertama kali digunakan untuk binaan tugu pada tahun 1883 dan dilanjutkan kepada bangunan tinggi enam tahun kemudian.[4]:ix-x[5]